Sambungan Inkues Kematian Baharuddin Ahmad

| comments


Inkues melibatkan kematian seorang peserta himpunan BERSIH 2.0 yang dikatakan telah meninggal dunia kerana sesak nafas ditembak dengan gas pemedih asap bersambung lagi semalam dengan Koroner melawat tempat kematian mangsa.

Dibawah adalah laporan inkues semalam

Koroner Zulkpli Abdullah yang mendengar inkues kematian Baharudin Ahmad pada Khamis melawat lokasi kejadian di bangunan Avenue K di Jalan Ampang di sini, tempat di mana pemandu teksi itu ditemui mati dalam keadaan duduk melunjur semasa menyertai perhimpunan BERSIH 9 Julai tahun lalu.

Zulkpli tiba di lokasi pada pukul 4.50 petang dengan diiringi Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Saleh, Ahmad Ishrakh Saad dan Mohamed Shah Reza Nor Azman serta peguam Ahmad Jufliz Faiza dan Chan Chew Weng yang mewakili keluarga allahyarham Baharudin dan beberapa anggota polis.

Terdahulu Ahmad Ishraq memohon kepada Zulkpli agar mahkamah membuat lawatan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan pemahaman yang lebih serta gambaran jelas berkenaan keadaan sebenar ketika Baharudin ditemui di Avenue K.

Di lokasi kejadian, saksi ke-10 pendakwaan iaitu penjaga bangunan, Silahuddin Salim, 45, menunjukkan kepada koroner kedudukan dan keadaan Baharudin yang ditemuinya terduduk dalam jarak 152 sentimeter dari pintu pagar besi yang tidak ditutup sepenuhnya ketika hari kejadian.

Sementara itu, ketika prosiding inkues di mahkamah Silahuddin turut memberitahu bahawa beliau nampak Baharudin terduduk melunjur (berbentuk L) di tengah-tengah bangunan ketika berdiri di tepi pintu pagar besi terbabit.

"Ketika itu ramai yang lari memasuki bangunan Avenue K, dalam ramai-ramai itu saya nampak seorang lelaki duduk melunjur, badannya berpeluh serta matanya memandang ke atas.... selepas itu seorang wanita menjerit meminta tolong," (rujuk kenyataan saksi pertama disini) katanya ketika ditanya Kalmizah semasa pemeriksaan utama.

Silahuddin turut memaklumkan pada hari kejadian beliau bekerja shif petang bermula dari 3 petang hingga 12 malam dan menurutnya, pada jam lebih kurang 4 petang, beliau melihat ramai orang cuba melarikan diri dengan memasuki bangunan tersebut dan tidak pasti mengapa mereka berbuat demikian.

Silahuddin berkata sebelum itu beliau sempat mengarahkan para pengawal keselamatan Avenue K untuk menyimpan penanda besi tempat meletak kereta di hadapan bangunan tersebut bagi mengelakkan alat terbabit digunakan oleh peserta perhimpunan.

Katanya terdapat tiga pintu besi, hanya dua daripadanya ditutup sepenuhnya manakala terdapat satu pintu satu lagi yang tidak ditutup sepenuhnya.

Dalam pada itu, pegawai polis Insp Mohd Alamshah Gulam, 30, memaklumkan bahawa tiada sebarang gas pemedih mata dilepaskan ketika bertugas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) disebabkan peserta perhimpunan itu memberikan kerjasama dengan bersurai.

Pengawai dari Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Kelantan itu berkata pada 9 Julai 2011, keadaan di sekitar Avenue K dipenuhi ramai orang dengan anggaran 4,000 hingga 5,000 peserta perhimpunan haram.

Namun, pengawai polis itu menjelaskan peserta perhimpunan di kawasan sekitar KLCC beredar menuju ke arah Jalan Ampang selepas beliau mengeluarkan arahan agar mereka bersurai.

Inkues akan disambung semula pagi ini

#Baca juga
Prosiding terdahulu di sini
Share this article :

Catat Ulasan

Sila berikan komen anda dengan sopan.

 
Support : Copyright © 2011. "tukanglawan" - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger. Stats by Feedjit