Jika Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak mengeluarkan fatwa seperti ini pun saya pasti semua yang bergelar "allazina aamanu" sudah arif lagi mengetahui akan pengharaman jika membuat kerosakan.
Tetapi nyatanya, fatwa sebegini telah menyerlahkan lagi siapa di sebalik topeng Majlis Fatwa. Jika mereka makan gaji dengan kerajaan sekalipun, namun mesti beringat-ingat, ketua terbesar bukanlah kerajaan tetapi Allah Azzawajalla. Menutup pekung kerajaan dengan menyalahkan rakyat melalui jalan fatwa adalah suatu pengkhianatan terhadap agama!
Saya melihat, fatwa sebegini menjadi nyawa terakhir kepada kerajaan apabila isu demi isu yang mereka mainkan tidak mendapat perhatian rakyat jelata.
Bermula isu syurga neraka sampailah kepada isu seks, semuanya tidak berpihak kepada mereka, bahkan ludah yang dihampurkan terpalit ke wajah sendiri. Akhirnya, mereka mengambil kesempatan ini untuk menimbulkan isu lain, mufti dijadikan boneka, agama pula dijual atas nama politik demi meraih sokongan. Sungguh jijik sekali feel seperti ini.
Mengistinbatkan sesebuah fatwa bukan seperti menulis rencana, baik buruknya harus diteliti dari segenap sudut. Kondisi dan situasinya harus disesuaikan dengan masyarakat, dan perbahasannya bukan seperti perbahasan di dalam dewan parlimen! Fatwa dosa dan pahala, haram atau halal tidak sama dengan peraturan sekolah.
Saya percaya, pertikaian terhadap majlis fatwa rentetan fatwa yg dikeluarkan bukan sahaja pada badan pengeluar bahkan pertikaian juga terhadap fatwa yang dikeluarkan. Seolah-olah berat sebelah dan kelihatan seperti menyebelahi pihak kerajaan, dan yang lebih ditakuti jika ia berpihak kepada kemungkaran. Yang sewajarnya diharamkan tidak pula diharamkan atas kepentingan pihak tertentu.
Saya amat menghormati majlis fatwa kebangsaan atas nama autoriti mereka memegang tanggungjawab agama di dalam negara Malaysia, tetapi mereka tidak wajar menggunakan kuasa ini untuk mengambil kesempatan. Setidak-tidaknya, mereka mengambil langkah diam jika ditakuti fatwa yang dikeluarkan bersalahan dengan kehendak agama.
Saya pasti, jika fatwa yang dikeluarkan ini menepati ciri-ciri sebuah fatwa dan digazetkan secara saksama serta adil, rakyat tidak akan melenting. Rakyat hari ini semakin dekat dengan ugama dan telah tahu apa perkara yang haram dan yang halal. Pertimbangan majlis fatwa yang berat sebelah inilah yg mugkin menjadi pertikaian oleh rakyat terutamanya golongan agamawan.
Menyifatkan BERSIH 3.0 secara khusus sebagai hukum haram atas illah mencetuskan keadaan huru-hara adalah kesilapan yang sengaja mengundang padah.
Pertamanya kerana matlamat dan tujuan perhimpunan itu diadakan bukan untuk menghuru-harakan keadaan jauh sekali mahu menumbangkan kerajaan.
Keduanya, dalam pada mereka mengharamkan BERSIH, masih banyak maksiat yang sepatutnya terlebih dahulu diharamkan tidak pula difatwakan sebagai haram. Inilah antara penyebab timbulnya kemarahan pelbagai pihak.
Sewajarnya, dalam mengeluarkan fatwa biarlah bersifat menyeluruh dan adil. Jika satu maksiat HARAM, maka seluruh perkara yang mempunyai ciri-ciri maksiat mesti di-HARAM kan.
Kondisi di Malaysia sudah terbalik, seolahnya, yang meminum arak itu haram, sebaliknya yang membuat arak tidak pula haram. Merokok diharamkan, tetapi penjualan rokok masih lagi berluasa. Begitu juga halnya perjudian, walaupun perbuatan judi telah lama difatwakan haram, namun tempat perjudian terbesar masih wujud di Malaysia.
Jika mahu berfatwa, lakukanlah ia secara adil dan saksama dalam semua hukum.
Jika tidak, apa yang akan berlaku, Itulah yang ALLAH sebutkan dalam surah Al-Baqarah, "beriman dengan sebahagian dan kufur dengan sebahagian" Apa yang mempunyai kepentingan oleh pihak tertentu dihalalkan, sebaliknya yg tidak berkepentingan pula diharamkan secara semberono.
Akhirnya, saya menyeru kepada majlis fatwa kebangsaan agar kembali kepada tugas asal mereka tanpa mengira latar politik. Walaupun terpaksa menempelak & menegur kerajaan, maka itu yang harus mereka lakukan demi melihat institusi agama terus mendapat penghormatan dan kepercayaan. Setidak-tidaknya mereka akan dihormati kerana kewibawaannya menjaga kredibiliti hukum dan agama.
Artikel asal ditulis :
AL al-Bayt University, Kingdom of Jordan.
Syariah, Fiqh wa usuluh.
Jom Follow Twitter "tukanglawan" dan Facebook Page Untuk berita terkini
Anda boleh menyalin artikel yang disiarkan tanpa halangan, sila letakkan link blog "tukanglawan jika sudi, semoga maklumat dan informasi dapat disampaikan kepada semua . Anda juga digalakkan share artikel ini di Facebook, twitter, forum atau apa juga medium sebaran. jika ada saranan dan pendapat, e-mailkan ke infotukanglawan@gmail.com , silakanlah juga tinggalkan komen anda dibawah
. .
Catat Ulasan
Sila berikan komen anda dengan sopan.