Sasterawan Negara, A Samad Said disebut-sebut bakal mengetuai perarakan besar menuntut reformasi dalam proses pilihanraya umum, setelah jawatankuasa BERSIH bermesyuarat semalam.
Jika tiada halangan, beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad akan mula menggerakkan usaha untuk berhimpun di Kuala Lumpur, dan lokasi yang paling sesuai dicadangkan adalah Dataran Merdeka di Jalan Raja.
Butiran mengenai himpunan yang dijangka paling besar dalam sejarah Malaysia sejak merdeka dari tangan penjajah British ini akan diumumkan dalam satu sidang media khas tidak lama lagi!
Bersih dijangka akan mengumumkan esok tarikh perhimpunan ketiganya untuk pilihan raya yang bersih dan adil, yang mana menurut sumber badan pemerhati pilihan raya itu akan berlaku hujung bulan ini.
Salah seorang jawatankuasa pemandu Bersih yang enggan mendedahkan identitinya berkata kepada The Malaysian Insider butiran berkenaan “Bersih 3.0” akan didedahkan sewaktu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) di sini.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran walaupun laporan di Internet menyebut 28 April ini sebagai tarikh untuk perhimpunan berikutnya, dan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan tersebut.
Sumber lain yang dihubungi juga tidak mengesahkan dan menidakkan khabar angin tersebut, namun mengakui semalam bahawa kumpulan tersebut telah bergerak untuk menuntut perubahan pilihan raya yang lebih besar.
Perkara itu jelas sumber tersebut, berlaku akibat daripada kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan pilihan raya (PSC) menyelesaikan isu pokok dan menunaikan tuntutan Bersih sebelum ini di samping pilihan raya yang bakal berlaku.
Sumber itu menambah, lebih banyak bukti penipuan sistem pilihan raya akan didedahkan, yang akan membuktikan PSC adalah sekadar hiasan pentadbiran Najib untuk menunjukkan keikhlasannya melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.
“Kami telah menemui bukti penipuan sistem pilihan raya yang lebih banyak dan menimbulkan tanda tanya sama ada keseluruhan PSC itu hanyalah sekadar satu penipuan,” kata sumber berkenaan.
“Melalui perhimpunan, kamu boleh sebut saya tidak mengesahkan, atau menafikan perkara itu, Tapi apa yang saya boleh katakan adalah bukti penipuan tersebut adalah sangat jelas.”
Sembilan ahli bipartisan PSC telah diumumkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu setelah berbulan lamanya pentadbiran beliau menerima kritikan ketika menguruskan perhimpunan Bersih kedua pada 9 Julai.
Selepas enam bulan perbincangan, panel berkenaan telah menyiapkan 22 hasil laporan akhir dan akan diserahkan kepada wakil rakyat di Parlimen semalam.
Perbahasan berkenaan laporan itu dijadualkan berlangsung 11.30 pagi hari ini namun, Pakatan Rakyat (PR) telah menyatakan kekecewaan mereka terhadap hasil laporan tersebut.
Selain itu, tiga ahli PR dalam PSC sejak minggu lalu sering mengkritik panel kerana dikatakan gagal menyelesaikan isu utama bagi membersihkan pilihan raya, terutamanya dakwaan kurangnya komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan sistem pilihan raya.
Kehadiran 42,000 pengundi hantu di dalam daftar sistem SPR, telah banyak kali dipertikaikan, namun SPR tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Tambahan lagi, mereka menyatakan suruhanjaya berkenaan gagal mengemukakan kaedah yang sesuai untuk membenarkan rakyat Malaysia di luar negara untuk turut mengundi, walaupun telah didesak untuk dikemukakan dalam laporan interim PSC Disember lalu.
Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga, pada 18 Mac telah memberi amaran kepada Putrajaya kemungkinan berlakunya Bersih3.0, ekoran penambahbaikan pilihan raya sengaja dilambat-lambatkan dan penambahan pengundi secara mendadak di sesetengah kawasan Parlimen.
“Melihatkan kepada keadaan sekarang, kami tiada pilihan lain. Selain Bersih 3.0,” kata Ambiga.
“Sekiranya kerajaan tidak serius berkenaan penambahbaikan pilihan raya, biar rakyat jadikan perkara itu didengari,” tambahnya.
Pemimpin PR turut menyatakan sokongan mereka terhadap perhimpunan berkenaan kerana kerajaan gagal memenuhi tuntutan untuk pilihan raya yang lebih adil.
Ribuan rakyat Malaysia telah menyertai perhimpunan 9 Julai Bersih 2.0 yang kemudiannya menjadi ganas apabila polis melancarkan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Situasi berkenaan menyaksikan 1,000 orang telah ditangkap termasuk sebelum perhimpunan berlangsung, dan Najib menerima kritikan daripada media antarabangsa.
Berdasarkan tekanan tersebut, kerajaan telah menjanjikan reformasi, yang mana turut melibatkan pembentukan PSC , namun sehingga hari ini ia gagal menunjukkan pilihanraya yang adil dapat dilakukan.
Anda boleh menyalin artikel yang disiarkan tanpa halangan, sila letakkan link blog "tukanglawan jika sudi, semoga maklumat dan informasi dapat disampaikan kepada semua . Anda juga digalakkan share artikel ini di Facebook, twitter, forum atau apa juga medium sebaran. jika ada saranan dan pendapat, e-mailkan ke infotukanglawan@gmail.com , silakanlah juga tinggalkan komen anda dibawah
. .
Catat Ulasan
Sila berikan komen anda dengan sopan.