1.0 Pendahuluan
Ketiga-tiga wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya iaitu Ahli bagi kawasan Gombak YB Mohamed Azmin Ali, Ahli bagi kawasan Rasah YB Loke Siew Fook dan Ahli bagi kawasan Kuala Krai YB Dr Hatta Md Ramli telah mencadangkan supaya satu Penyata Minoriti dilampirkan bersama Laporan Akhir Jawatankuasa semasa mesyuarat terakhir Jawatankuasa dijalankan pada 29 Mac 2012. Namun, cadangan tersebut telah ditolak dengan satu undian belah bahagi. Keputusan ialah 3 undi bersetuju dengan cadangan tersebut (Gombak, Rasah dan Kuala Krai) manakala 6 undi tidak bersetuju (Kota Marudu, Kangar, Alor Gajah, Kapit, Hulu Selangor dan Wangsa Maju). Adalah mustahak untuk ditegaskan bahawa sepanjang perjalanan dan prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, ahli jawatankuasa dari Pakatan Rakyat telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyempurnakan tugas mereka.
Penyata Minoriti adalah penting untuk memberikan ruang kepada suara minoriti dalam Jawatankuasa me,laporkan pandangan dan cadangan mereka yang tidak dipersetujui oleh majoriti dalam Jawatankuasa.Walaupun tidak mendapat undi majoriti, namun cadangan dan pandangan minoriti dalam sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas wajib direkod dan dilaporkan bersama Laporan Akhir Jawatankuasa.
Tujuan 3 wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa tersebut mencadangkan Penyata Minoriti ialah kerana kami berpendapat perkara yang paling asas dan penting dalam soal penambahbaikan sistem pilihanraya iaitu memastikan Daftar Pemilih yang bersih dan telus masih belum mendapat perhatian yang sepatutnya dan tindakan yang serius daripada pihak Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR). SPR gagal memberikan komitmen yang penuh untuk memastikan segala kepincangan dalam Daftar Pemilih akan diatasi dan menjamin satu Daftar Pemilih yang bersih yang bakal digunakan pada Pilihan Raya Umum yang ke-13 nanti.
2.0 Isu-isu berkenaan Daftar Pemilih yang gagal ditangani oleh SPR
2.1 Membetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen
Di antara bulan Mac 2008 dan suku ketiga 2011, SPR telah memindahkan seramai 31,294 pemilih keluar dari kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen dimana mereka mengundi pada PRU ke-12 tanpa keizinan mereka. Alasan yang diberikan oleh SPR ialah mereka menjalankan proses memperbetulkan sempadan kawasan pilihanraya ke kawasan yang sepatutnya. SPR menggunakan peruntukan undang-undang di dalam seksyen 7 Akta Pilihan Raya iaitu memperbetulkan kawasan daerah mengundi dan lokaliti di dalam aktiviti belah bahagi untuk melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang iaitu memindahkan pengundi tanpa izin mereka dan memperbetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa melalui persetujuan Parlimen.
Prinsip Belah Bahagi di bawah tajuk Sempadan Pilihanraya jelas menyatakan:
“Urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah ditumpukan dan terhad dalam satu-satu Bahagian Pilihanraya Negeri sahaja. Oleh itu, urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah TIDAK BOLEH sama sekali melampaui sempadan Bahagian Pilihanraya Negeri apatah lagi Parlimen termasuklah urusan untuk mencantumkan 2 daerah mengundi yang kecil atau sebahagiannya yang terletak di sempadan 2 bahagian Pilihan Raya yang berlainan.”
Aduan rasmi daripada YB Ahli Parlimen Subang kepada SPR berhubung isu tersebut yang melibatkan kawasan Parlimen Subang adalah dilampirkan dalam Apendiks 1.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengakui bahawa proses yang mereka telah lakukan adalah menyalahi peruntukan undang-undang dan mengambil tindakan serta-merta untuk mengembalikan pengundi-pengundi yang terjejas dalam proses tersebut kebahagian pilihanraya DUN dan Parlimen yang mereka mengundi pada PRU ke-12. Proses ini perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.
2.2 Isu berkenaan 42,000 pengundi ragu yang masih belum dibersihkan oleh SPR
Pada penghujung tahun 2011, SPR telah mempamerkan 42,000 nama pengundi ragu yang dikatakan status kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan oleh JabatanPendaftaran Negara. Proses pameran tersebut telah tamat beberapa bulanyang lepas namun sehingga kini, SPR gagal membersihkan nama-nama tersebut daripada Daftar Pemilih Induk (DPI).
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan membersihkan senarai tersebut dan mengeluarkan nama-nama pengundi ragu tersebut dalam tempoh 15 hari daripada Laporan ini dibentangkan di Parlimen.
2.3 Nama pengundi yang melebihi 100 tahun
Dalam Daftar Pemilih Induk SPR, terdapat 65,000 pengundi yang berumur 85 tahun keatas dan lebih 1,000 pengundi yang berumur lebih 100 tahun! Terdapat 19 nama pengundi yang lahir sebelum tahun 1900. Walaupun kebanyakan pengundi yang berumur 85 ke atas dipercayai masih hidup namun pengundi-pengundi yang melebihi 100 tahun adalah sangat diragui.
Contoh seorang pengundi yang lahir pada tahun 1853 (berumur 159 tahun sekarang) adalah dilampirkan dalam Apendiks 2.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyiasat dengan terperinci nama-nama warga emas yang berumur lebih 100 tahun ini dan seterusnya membersihkan nama-nama tersebut daripada Daftar Pemilih dalam tempoh 30 hari.
2.4 Senarai pengundi ragu yang menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina
Terdapat kajian yang mendapati bahawa lebih 15,000 nama pengundi yang didaftarkan dengan menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina. Maksudnya ialah terdapat nombor kad pengenalan yang berakhir dengan nombor genap (yang sepatutnya untuk wanita) didaftarkan sebagai pengundi lelaki.Terdapat juga kes nombor kad pengenalan yang berakhir dengan nombor ganjil (yang sepatutnya untuk lelaki) didaftarkan sebagai pengundi perempuan.
Contoh-contoh kes tersebut adalah dilampirkan dalam Apendiks 3.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyemak nama-nama tersebut dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan seterusnya membersihkan senarai tersebut daripada Daftar Pemilih dalam tempoh 30 hari dari Laporan ini dibentangkan di Parlimen.
2.5 Isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos
Satu kajian bebas ke atas Daftar Pemilih mendapati bahawa terdapat lebih kurang 4,500 nama isteri kepada anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos. Isteri kepada anggota polis sepatutnya tidak layak menjadi pengundi pos. SPR telah memaklumkan kategori anggota keselamatan yang layak menjadi pengundi pos ialah anggota tentera dan pasangan mereka serta anggota polis sahaja.
Contoh senarai isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos adalah dilampirkan di Apendiks 4.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengeluarkan semua nama isteri anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos dan dimasukkan semula dalam Daftar Pemilih sebagai pemilih biasa dalam tempoh 15 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.
3.0 Rumusan
Makanya keputusan kami untuk tidak memperakui Laporan Akhir Jawatankuasa sebagai laporan yang konklusif serta menekankan keperluan dibentangkan bersama penyata minoriti adalah kerana kegagalan SPR sehingga kini untuk bertindak sesuai dengan mandat Perlembagaan demi memastikan perjalanan pilihanraya yang bersih dan adil. Malah sepanjang perjalanan mesyuarat Jawatankuasa, berdasarkan penjelasan yang diberikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, tambah meyakinkan kami bahawa SPR kian hilang kewibawaan menyempurnakan mandat tersebut secara bebas dan adil.
YB Mohamed Azmin Bin Ali YB Loke Siew Fook YB Dr Mohd Hatta Md Ramli
Ahli Parlimen Gombak Ahli Parlimen Rasah Ahli Parlimen Kuala Krai
Tarikh : 2 April 2012
Anda boleh menyalin artikel yang disiarkan tanpa halangan, sila letakkan link blog "tukanglawan jika sudi, semoga maklumat dan informasi dapat disampaikan kepada semua . Anda juga digalakkan share artikel ini di Facebook, twitter, forum atau apa juga medium sebaran. jika ada saranan dan pendapat, e-mailkan ke infotukanglawan@gmail.com , silakanlah juga tinggalkan komen anda dibawah
. .
Catat Ulasan
Sila berikan komen anda dengan sopan.