JINGGA 13 menyanjung tinggi saranan Pengerusi Lembaga Penasihat Panel SPRM Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh bahawa berkata ahli keluarga dan pasangan menteri kabinet tidak lama lagi akan diwajibkan mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Puan Sri Zaitun Zawiyah turut memuji langkah telus pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertindak mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada orang awam serta turut menggalakkan mereka melakukan perkara yang sama bersama ahli keluarga dan pasangan mereka.
Namun apa yang menghairankan Jingga 13 adalah tindakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang mengeluarkan kenyataan bahawa berbahaya sekiranya Menteri dan ahli keluarga bertindak mengisytiharkan harta benda mereka butirannya didedahkan kepada orang awam.
Jingga 13 merasakan kenyataan itu sebagai kurang bijak dan tidak teliti, memandangkan Panel Penasihat SPRM yang bersidang semalam telah memberikan jaminan bahawa segala maklumat pengisytiharan itu akan menjadi rekod dan disimpan oleh SPRM sendiri selain Jabatan Perdana Menteri.
Persoalannya adakah Menteri sendiri tidak mempercayai kewibawaan Suruhanjaya yang ditubuhkan untuk memantau dan memastikankan indeks kebebasan rasuah kembali pulih atau wujudkah tindakan untuk melindungi mana-mana orang kenaman atau keluarga Menteri yang sekiranya didedahkan akan membahayakan hayat politik mana-mana pihak.
Sebagai seorang yang mempunyai jawatan dan berkepentingan di dalam kerajaan, amatlah tidak wajar Datuk Seri Nazri Aziz mengeluarkan kenyataan sedemikian. Beliau seharusnya berani untuk mengalu-alukan tindakan telus SPRM itu agar sebarang siasatan dari Suruhanjaya tersebut tidak perlu lagi mendapat kebenaran atau nasihat daripada badan eksekutif dan bebas dilakukan apabila mendapat cukup bukti.
Jingga 13 dengan ini menyokong teguh cadangan Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh itu sebagai satu usaha berwibawa mengembalikan kepercayaan pelabur dan negara luar terhadap kebebasan dan ketelusan pentadbiran di dalam negara ini dan sebarang usaha untuk menghalang perlaksanaan cadangan ini secara langsung adalah sewajarnya ditolak dan dipersoalkan.
Muafakat*Prihatin*Berani
SAIFUDDIN BIN SHAFI MUHAMMAD
Setiausaha
JINGGA 13
Catat Ulasan
Sila berikan komen anda dengan sopan.