Azmin Ali Pernah Ternak Kambing bukan Lembu

| comments

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali meluangkan masa bersama wartawan Roketkini Amaluddin Zhafir, Izmil Amri dan Mazir Ibrahim serta jurugambar Wira Andika untuk berkongsi pengalaman dan cabaran politik semasa. Dalam suara dan bahasanya sendiri, beliau memperkenalkan dirinya. 

Saya boleh katakan saya ini reluctant politician. Saya bukan seorang ahli politik daripada asal. Saya berkhidmat dengan orang politik. Saya memberikan sumbangan dan khidmat saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) selama 13 tahun, mulai seawal 1987 ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan, kemudian kita beralih ke Kementerian Kewangan, sehinggalah ke Jabatan Perdana Menteri dan sehingga beliau dipecat pada 2 September 1998.

Namun sebelum itu kalau diperlukan saya kongsi sedikit latar belakang saya, saya ini bukanlah daripada keluarga aristokrat. Saya berasal dari sebuah keluarga yang sederhana.

Ayah saya
Allahyarham ayah saya seorang bekas tentera yang berkhidmat dengan British Army di Singapura, sebaik sahaja  Singpura berpisah dengan Malaysia, beliau balik ke Kementerian Pertahanan dan semenjak itu kita mula meneroka tanah kerajaan di kampung Klang Gate Baru Hulu Kelang semenjak tahun 1968.

Dan ketika itu saya berumur 4 tahun, mula dibesarkan dalam keluarga ini di kampung Klang Gate. Sebagai seorang anggota tentera, pegawai rendah, ayah saya seorang sarjan mejar sahaja, nombor tenteranya 3443, saya ingat lagi. Seorang yang cukup berdisiplin, tegas.

Mungkin latihan yang diterima dalam ketenteraan, dan dia menerapkan watak ketegasan dan disiplin ini di kalangan ahli keluarga khususnya anak-anaknya, dan saya dibesarkan dalam keluarga sebegini, tegas berdisipllin patuh kepada arahan dan ianya telah membentuk saya daripada kecil. Dan Allahyarham ayah saya ini walau pun dia berkhidmat dengan tentera selama 21 tahun, beliau mengambil keputusan untuk bersara awal dan menceburkan diri dengan advertising company di jalan Riong Bangsar.

Kambing, ayam dan ikan keluarga saya
Pada masa yang sama juga dia mahu kami melalui satu proses pembesaran yang tidak dengan jalan yang mudah. Sebenarnya, tak ramai yang mengetahui saya pernah menjadi penternak kambing…bukan lembu, ya.
Ketika saya berusia 17 tahun dan sedang menghadapi SPM saya masih ingat lagi di kampung Klang Gate, ketika itu Taman Melawati sedang dibangunkan, iaitu pada tahun 1981, saya di tingkatan 5. Dalam kesibukan saya menyiapkan diri untuk SPM, ayah saya mendesak supaya saya menternak kambing.

Saya ingat lagi 20 ekor kambing, tidak mudah cara menternak kambing ini kerana kalau hujan dia tak boleh keluar, kita terpaksa pergi cari daun nangka untuk memberi makan kepada kambing. Kalau cuacanya baik saya terpaksa bawa kambing-kambing ini pergi ke dalam kebun getah daripada pukul 4 petang hinggalah waktu maghrib, bawa kambing balik ke kandang.

Saya telah melalui proses ini, saya juga telah dididik untuk menjadi seorang pekebun, kita ada tanah kerajaan yang kita teroka di empangan kampung Klang Gate, di mana sekitar dua ekar tanah dibangunkan dengan menanam pisang, nangka, durian, serai, cili sayur-sayuran dan ulam dan lain.

Setiap hari Sabtu dan Ahad, merupakan dua hari yang wajib saya bersama ayah dan abang saya untuk berada di kebun tersebut dan hasil daripada penanaman ini kita kumpulkan dan kita bawa ke pasar tani untuk dijual. Saya melalui proses tersebut, dan tidak cukup dengan itu, ayah juga cuba menternak ayam daging.

Lebih lima ribu ekor diternak dan sekali lagi saya diarahkan terlibat secara langsung dalam membantu beliau dalam menternak ayam daging ini, tidak mudah untuk uruskan najis-najis ayam yang dijadikan baja, untuk memberikan makanan dan menjaganya dengan memasang lampu pada stiap malam juga saya melalui proses itu.

Tak cukup itu saya juga telah terlibat secara langsung dalam menternak ikan air tawar, dalam halaman rumah juga tanah liat tanah yang keras. Namun saya tahu bahawa ayah saya bukan mendera tetapi melatih kita melalui satu proses pembesaran dengan jalan yang sukar supaya kita faham apa itu erti kemiskinan, apa itu erti kepayahan.

Walau pun kita tidak perlu sebenarnya melalui proses ini, dia mahu anak-anaknya supaya memahami masalah rakyat pada ketika itu dan tanah-tanah yang keras di keliling rumah dikorek menjadi kolam-kolam ikan, dan kita menternak ikan keli dan ikan air tawar yang lain dan kita telah pun berjayalah dari segi itu.

Melanjutkan pengajian tinggi ke Amerika Syarikat
Sehinggalah saya selesai SPM dan Alhamdulillah keputusan itu membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dengan tajaan MARA untuk membuat kursus Ijazah Sarjana Muda dalam bidang matematik. Pada waktu saya dalam program MARA di mana saya perlu balik dan mengajar di Maktab Rendah Sains MARA.



Namun saya juga mengambil kesempatan di sana, dan oleh kerana peluang yang telah diberikan dan suasana pendidikan yang cukup kondusif, saya juga mengambil satu lagi matapelajaran, iaitu ekonomi, dan saya telah berjaya menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang matematik dan juga ekonomi.

Kemudian saya telah membuat rayuan untuk meneruskan pengajian dalam bidang matematik dan juga ekonomi. Dan saya pulang ke Malaysia pada tahun 1987 untuk berkhidmat dengan MARA, tetapi pada ketika itulah DSAI menawarkan saya berkhidmat dengan beliau sebagai pegawai khas pada ketika itu sebagai Menteri Pendidikan dengan mendapat sokongan dan dokongan yang kuat daripada (Perdana Menteri pada masa itu) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, sewaktu perbicaraan DSAI, saya pernah memberikan keterangan dalam mahkamah, bahawa saya diperkenalkan kepada DSAI oleh Dr. Mahathir sebenarnya. Saya tidak kenal DSAI, saya lebih mengenali Dr. Mahathir kerana aktiviti saya di Amerika Syarikat dalam kesatuan pelajar yang aktif untuk membantu mempertahankan dasar-dasar kerajaan pada waktu itu.

Bagaimana Dr Mahathir perkenalkan saya kepada Anwar
Sekitar pertengahan tahun 1980-an ada satu kebangkitan pelajar Malaysia di Amerika Syarikat yang menentang kerajaan (Malaysia) secara besar-besaran. Ketika itu isu mengkafirkan orang UMNO oleh PAS, dan oleh kerana ketika itu gerakan Islam di kalangan pelajar Malaysia di Amerika itu cukup kuat, maka mereka juga sama-sama menentang UMNO dan Barisan Nasional.

Saya masih ingat insiden di mana Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mohktar yang juga Naib Presiden UMNO masa itu membuat lawatan ke AS dengan membawa dana yang besar untuk menyampaikan kepada pelajar-pelajar tetapi ditolak malahan dihalau oleh pelajar-pelajar.

Itu menunjukkan sentimen para pelajar ketika itu. Maka ketika itulah saya diperkenalkan kepada Dr. Mahathir oleh Duta Besar Malaysia, Liew Sik Hon, orang kuat MCA yang menjadi Duta di Washinton DC. Dia membawa saya bertemu dengan Dr. Mahathir sekitar tahun 1983 di Chicago. Itulah kali pertama saya bertemu dengan Dr. Mahathir dan beliau meminta saya membantu bagaimana kita dapat mendekati pelajar-pelajar dan menerangkan dasar-dasar kerajaan supaya dapat meredakan ketegangan pada ketika itu.

Alhamdulillah, saya telah memberikan pandangan dan sumbangan ke arah tersebut dan hubungan saya dengan Dr. Mahathir semakin akrab dan setelah tamat pengajian, Dr Mahathir yang pada ketika itu akrab dengan saudara Anwar telah meminta saya membantu DSAI.

Maka itu saya mula bersama dengan DSAI mulai tahun 1987 sehingga 1998. Memang benar saya salah seorang yang paling lama berkhidmat dengan DSAI. Berbeza dengan satu, dua watak yang baru mengenali DSAI tetapi telah mengkhianati beliau dan perjuangan, malah telah membuat kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan perwatakan dan personaliti DSAI.

Anwar yang saya kenali
Bagi saya mereka ini adalah mereka yang tidak mengenali beliau sepenuhnya dan dipergunakan oleh musuh-musuh DSAI untuk menyerang dan melakukan fitnah.  

Sebagai orang yang lama dan paling lama sebenarnya berkhidmat dengan DSAI, bagi saya beliau seorang yang cukup tegas dan memikul amanah ini dengan baik dan bertanggungjawab seorang Muslim yang kuat aqidahnya, seorang Melayu yang kuat keMelayuannya tetapi pada masa yang sama mempunyai sikap yang adil dan saksama kepada kaum-kaum yang lain.


Ini semua kerana beliau melihat kepelbagaian ini juga dituntut oleh Islam tidak sekadar melihat Islam dan Melayu itu sebagai agenda tetapi menolak kaum-kaum yang lain. Sebab itu prinsip kepelbagaian ini atau pun apa yang sering disebut-sebutnya dalam Bahasa Cina yang bermaksud “kita semua dalam satu keluarga”.

Kata-kata ini diucapkan bukan dalam zaman Reformasi, beliau telah menyebut ini ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lagi. Ini bermakna ia merupakan satu conviction beliau sebagai Islam, sebagai Melayu tetapi pada yang sama kita mesti menerima kenyataan yang Islam menuntut kepelbagaian, Islam menuntut kerjasama dengan kaum-kaum dan agama-agama yang lain. Jadi beliau memegang prinsip yang berkenaan.

Bagi saya, saya bersyukur kerana pengalaman berkhidmat dengan  DSAI ini banyak mendidik saya dan membentuk perwatakan saya.

Yang pertama, saya dapat belajar bagaimana kita nak menguruskan manusia ini. Tidak mudah dengan pelbagai latar belakang dan pelbagai watak tetapi kita mesti ada kebijaksanaan untuk urus perkara-perkara ini.

Yang kedua, sudah tentulah bagaimana kita nak mengurus dan mentadbir krisis dengan berhemah dan bertanggungjawab. Sudah tentulah isu-isu lain, soal foreign policy, isu-isu antarabangsa, isu-isu politik, ekonomi dan sebahagian besarnya kita tak ada peluang untuk belajar di dalam kuliah di universiti atau kolej.

Tetapi melalui pengalaman seperti ini, saya mula berkhidmat dengan beliau seawal usia 24 tahun dan di usia begitu muda saya diberikan pendedahan untuk bersama-sama dengan beliau dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh negarawan besar di dunia bukan saja di Timur Tengah atau pun di Eropah dan juga di negara Barat.

Kalau di peringkat Malaysia ini saya masih ingat ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, dia ada satu Forum Ilmuan Malaysia (FIM), dan kita bertemu dengan mereka setiap bulan di mana ia melibatkan tokoh-tokoh akademik daripada universiti, daripada civil society, tokoh-tokoh politik untuk membincangkan bukan isu kepartian tetapi isu masyarakat, isu negara dan mendapat input dan maklum balas daripada pakar-pakar berkenaan sebagai resource persons.

Itu bagi saya amat penting. Orang-orang politik ini jangan terlalu banyak bermain politik sehingga memutuskan hubungan mereka dengan tradisi keilmuan. Sebab itu sehingga hari ini DSAI menekankan pimpinan keadilan mesti banyak membaca, mesti banyak berdamping dengan tokoh-tokoh ilmuan sama ada soal Islamnya, soal ekonominya dan juga bidang-bidang yang lain supaya kita dapat membuat keputusan berasaskan ilmu, kita tidak membuat keputusan berasaskan emosi atau sentimen.

Apa-apa isu itu dapat ditangani kalau kita memiliki ilmu yang tinggi. Dan, ilmu ini perlu dipelajari walau pun kita sudah berada di suatu kedudukan yang tinggi, tetapi ia tidak bermakna jika kita tidak berdampingan atau pun hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh akademik.

Di peringkat regional juga sudah tentulah DSAI merupakan tokoh yang dilihat dapat menjana perubahan. Sebab itu saya kesal dengan serangan-serangan jahat termasuk Raja Petra Kamaruddin dan pecacai-pecacai UMNO yang lain dengan mengatakan DSAI ini unfit to be a Prime Minister (“tidak layak menjadi Perdana Menteri”).

Bagi saya, siapa mereka ini untuk menentukan masa depan parti dan DSAI, sedangkan pandangan dunia tidak begitu. Pandangan dunia melihat DSAI ini bukan sahaja milik keadilan, bukan sahaja milik Malaysia tetapi milik antarabangsa. Sebab itu beliau mendapat undangan hampir setiap minggu untuk berkongsi pengalaman dan ilmu beliau bagaimana dunia ini dapat bekerjasama dalam konteks globalisasi pada hari ini.

Sebagai contoh, pada 9 Januari ini, pada hari keputusan mahkamahnya, sepatutnya beliau berada di India atas undangan cucu Mahatma Gandhi dalam satu seminar penting dalam soal demokrasi. Begitu juga Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan telah menyusun satu program besar untuk beliau pada 12 Januari ini bersama dengan tokoh-tokoh akademik dan kemasyarakatan di Turki untuk membincangkan soal bagaimana masa depan Islam dan Barat untuk kita maju kehadapan.

Kesetiaan saya kepada idealisme dan perjuangan Anwar
Bagi saya, kalau dunia melihat ketokohan kewibawaan DSAI, siapa satu, dua kerat manusia upahan UMNO ini untuk mempertikaikan kewibawaan dan juga ketokohan DSAI. Dan saya sebagai orang yang lama dengan beliau, 13 tahun dalam kerajaan semenjak beliau dipecat dalam tahun 1998 sehingga hari ini saya masih setia dengan beliau.

Saya sudah hampir 30 tahun bersama DSAI. Isu yang harus kita bincangkan, iaitu soal kesetiaan, ini juga bagi saya isu penting dalam perjuangan. Dan bagi saya, saya bukan setia kepada DSAI kerana batang tubuhnya, tetapi kerana prinsipnya dan idealisme yang dibawa oleh beliau yang saya tertarik dan saya melihat ia dapat mendidik anak bangsa untuk berpegang kepada prinsipnya.

Itulah rentetan yang dapat saya kongsi dari zaman persekolahan saya, zaman universiti dan khidmat saya kepada DSAI. Sekarang saya terlibat langsung dalam KeADILan (PKR) dan Pakatan Rakyat.
Bagi saya rumusannya ialah saya bersyukur kerana saya dapat mendekati DSAI dalam konteks rasmi ketika dalam kerajaan dan hari ini dalam konteks perjuangan dalam Pakatan Rakyat.

Pengalaman yang saya perolehi cukup luas, bukan saja dalam konteks kedaerahan atau pun dalam konteks tempatan tetapi juga pengalaman-pengalaman saya berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa melalui DSAI itu cukup luas. Sudah tentulah ia dapat membantu KeADILan khususnya dan juga Pakatan Rakyat dalam meneroka masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

Inilah peranan saya dan saya akan terus memberi khidmat kepada parti dan perjuangan Pakatan Rakyat walau apa pun berlaku kepada DSAI pada 9 Januari nanti. – Roketkini.com

Ehh korang, Jom join Forum AIC kat sini.. ada live chat, games, boleh lihat gambar aktiviti, kenal kawan-kawan baru, wah seronok tau. klik sini ok.... 
 
AWAS# Sebarang komen yang anda tulis dibawah memungkinkan penulis blog ini dipenjara kerana tidak menasihati anda supaya jangan mengeluarkan sebarang komen, walau bagaimana pun, mengikut konsep hak asasi manusia yang diguna pakai, manusia itu mempunyai hak dan kebebasan untuk bersuara dan menyatakan pendapat, sebarang komen dari anda dialu-alukan oleh penulis blog. Jom Follow Twitter "tukanglawan" dan dan like Facebook Page dibawah Untuk berita terkini, Jom Tonton Koleksi video ceramah disini, atau berhibur dengan TV Online disini

Share this article :

Catat Ulasan

Sila berikan komen anda dengan sopan.

 
Support : Copyright © 2011. "tukanglawan" - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger. Stats by Feedjit