Badan apa pun yang dibentuk, termasuk suruhanjaya diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang di Sabah dan jawatankuasa mengkaji royalti minyak Kelantan akan gagal sekiranya melibatkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dakwa bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim.

Beliau menyuarakan kebimbangannya itu melaluinya surat 'peringatannya' kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini.

NONE
Setelah penantian beberapa bulan, Datuk Seri Najib Razak pada 3 Ogos lalu berkata, beliau akan mengumumkan terma rujukan bagi RCI Sabah pada 11 Ogos di negeri di bawah bayu itu sendiri.

Manakala sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu royalti Kelantan pula diumumkan penubuhannya sehari selepas itu, bertujuan mengkaji tuntutan bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri di Pantai Timur.

Dalam surat yang salinannya diperoleh Malaysiakini itu, Mat Zain mendakwa bahawa orang ramai muak dengan sikap Gani dalam mengendalikan RCI sebelum ini, antaranya berkaitan isu mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan VK Lingam.

Menyentuh isu RCI Sabah, Mat Zain mendakwa, biar apa pun terma rujukan yang diumumkan perdana menteri, rakyat tidak akan mendapat faedah kerana hasilnya akan tetap dirujuk kepada Gani.

"Begitu juga dengan rakyat Negeri Kelantan. Mereka juga saya jangka akan diperdayakan dan dihampakan," kata Mat Zain yang amat meragui kewibawaan Gani dalam surat lima muka surat itu.

Ini kerana, katanya, perdana menteri sudah pasti akan melibatkan Gani sekali dalam jawatankuasa itu.

Mat Zain antara bekas pegawai kanan polis yang konsisten dan lantang mengkritik peguam negara atas dakwaan kes salah laku dan menuntut pembentukan sebuah tribunal untuk tujuan itu.