Sebuah karya dari penulis lirik lirik Awan Nano, atau lebih dikenali dengan nama Buddhi Hekayat, beliau juga seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan,
Karya dibawah adalah satu karya yang ditulisnya dalam menyampaikan sebaran supaya pencerahan dilakukan.
Pencerahan itu secara mudahnya ialah satu seruan supaya sesuatu dilakukan supaya kebaikan dapat dilakukan dalam kehidupan seharian, juga menyeru supaya minda tidak terkongkon dan menjadi lebih bebas dan kritis.
Terima lah karya beliau yang bertajuk SOSOK SANG PENCERAH.
Era Renaissance yang mengakar di dalam kehidupan orang Eropah, sejak penghujung abad ke-15 itu, bukan “gerakan politik”. Sesiapa yang membaca sejarah akan tahu, di abad-abad ke-16, 17 dan 18 adalah abad “gerakan kebudayaan”. Kebangkitan atau apa disebut sebagai “kelahiran semula” Eropah. Terbit daripada Zaman Gelap; Gothic Age.
Zaman itu disebut juga sebagai “Zaman Pertengahan”. Di antara kelahiran semula Eropah yang pernah di suatu ketika, mempunyai era kegemilangan di bawah khususnya empayar Rom, selain Yunani. Apabila keduanya malap—kemudian runtuh—di hujung abad ke-5, tak ada lagi pemikiran cemerlang yang melatari kehidupan Eropah.
Bukan sahaja tak ada Plato atau Socrates, namun tak ada bentuk-bentuk pemikiran baru. Termasuk pemikiran kenegaran atau kemasyarakatan; yang hari ini kita menyebutnya barangkali sebagai “politik”. Mengapakah rentang waktu Renaissance disebut sebagai zaman gerakan kebudayaan dan pemikiran?
Di sana, muncul karya-karya dan hasil kerja tangan manusia yang cemerlang: zaman di mana manusia tidak hanya mendongak ke langit untuk mendapat keajaiban Tuhan. Manusia sedar, doa dan pengharapan sahaja tak memadai. Tangan mereka harus menyempuh besi, melakar lukisan, menyusun batu-batu. Semua itu dibuat bukan lagi demi langit (baca: Tuhan). Tapi, untuk diri mereka sendiri (baca: manusia) terlebih dahulu.
Barangkali ada yang bertanggapan ia cemuh; kerana ‘meninggalkan’ Tuhan sepi di langit hijau. Tidak! Kesedaran untuk mengasah bakat (akal dan hati nurani) adalah apa yang dikehendaki oleh Tuhan jua. Atas salah faham inilah, maka Eropah terhukum berada di gaung kegelapan selama 10 ribu tahun!
Ciri-ciri Zaman gelap itu berada di Timur hari ini. Dalam bahasa politik, nama Tuhan dijadikan perisai alasan untuk berlaku zalim, menindas, merangkus tenaga orang ramai. Ada negara yang dibangunkan, jelas-jelas atas sentimen itu: “demi Tuhan,” kata mereka, “rakyat perlu diselamatkan!”
Diselamatkan daripada apa? Wallahualam…
Mungkin daripada menjadi tidak mengenal Tuhan. Tuhan yang dimengertikan oleh Sang Penguasa sering sahaja berbeza dengan Tuhan yang dimengertikan oleh rakyat. Sebab itu, hari ini, kita boleh mendengar bagaimana ada orang yang di pentas kekuasaan—sama ada politik atau kebudayaan—bercakap dengan nada gempak. Merasakan diri mereka punya “hak untuk menyelamatkan” yang lain. Bukan dengan jalan dakwah, tapi dengan jalan pemaksaan.
Saya tak faham, saya tak mengerti, bagaimana ketika kita melihat ‘bayang-bayang’ agama begitu melebar di tengah-tengah masyarakat, misalnya wanita yang bertudung yang semakin ramai berbanding seawal waktu kemerdekaan dahulu; namun amalan mencerca, memfitnah turut semakin dan semakin meluas.
Nah! Belum pernah di dalam sejarah umat Islam di Malaysia, misalnya, binaan masjid sebanyak yang ada sekarang. Belum pernah juga di dalam sejarah negara ini, binaan rumah-rumah ibadat agama lain sama ada Kristian, Hindu, Buddha sebanyak yang ada sekarang. Rumah-rumah ibadat yang tumbuh mencanak itu tak menandakan masyarakat kita bebas daripada gejala buruk.
Ada masalah pemikiran [agama] di bawah semua ini. Masalah “pemikiran agama” bukan bermaksud masalah agama. Ia adalah masalah agamawan, yang ditambah dengan masalah sang pemikir di bidang-bidang sosial lainnya seperti politik sampailah budaya, yang tidak cermat di dalam pemikiran, atau sebenarnya tak berfikir langsung.
Agamawan, penulis, pelukis, politisi atau apa sahaja yang mempengaruhi masyarakat tak lebih hanya sebagai simbol-simbol jawatan. Bukan lagi amanah.
Bolehkah kita bayangkan, bagaimana seorang penulis, misalnya, bertungkus-lumus menjadi penulis sedari usianya yang muda, tetapi akhirnya menjadi seorang birokrat. Menjadi seorang pensyarah di universiti atau pegawai kanan badan pemerintah. Di sana, daya fikirnya semakin lemah. Mulai jarang menulis. Dan, akhirnya ‘mati’ dalam sarang birokrasi.
Paling tinggi yang ia mampu lakukan ialah menyediakan rumah untuk anak-isteri. Beserta sebiji-dua kereta. Dia tak pernah mampu memainkan peranan sebagai fungsinya yang sebenar; iaitu menyeru manusia berbuat baik. Bagaimanakah cara untuk menyeru manusia berbuat baik?
Bagi menjawab soalan ini, era Renaissance Eropah menjadi mustahak. Di sana, seruan kebaikan wajar sahaja datang dengan keindahan. Atau disebut juga sebagai “estetika”. Kebaikan tidak boleh dibalut dengan “sarung yang jelek”.
Demikian apabila seorang seniman itu kurang berbakat, karya mereka juga akan kurang mendapat tempat. Sebabnya tak lain, apabila karya itu tak cukup nilai keindahannya. Tak cukup kuat untuk menjentik batin orang lain. Pengkarya sebegini akan lebih berlagak sebagai pengkarya “syok sendiri”.
Di tengah-tengah kekalutan inilah, sang penggila kuasa mengambil posisi. Membisikkan kepada rakyat, siang-malam pagi-petang bahawa mereka adalah ratu adil atau juru selamat. Adakah pencapaian tertinggi yang bisa dilakukan oleh golongan pendamba kuasa ini?
Setakat yang kita dengar, bicara mereka tak lebih hanya bergulat kepada soal “politik pembangunan”. Parti A berkata program pembangunan ekonominya lebih baik dairpada Parti B. Begitulah sebaliknya. Setakat itu.
Belum pernah di dalam sejarah bangsa kita, seorang yang bangun dan berbicara dengan tegas bahawa persoalan pembangunan hanya bahagian daripada cabang hidup bernegara. Tak pernah terfikirkah oleh kita bahawa tak akan pernah ada di dalam sesebuah negara itu, semua rakyatnya kaya. Takkan ada! Lalu, bagaimanakah nasib dengan rakyat yang miskin?
Hak untuk mendapat keindahan hidup, bukan hanya hak kepada golongan kaya. Kebahagiaan juga adalah hak kepada golongan miskin. Inilah yang tak disebutkan. Sekiranya dengan gaya politik yang ada sekarang, saya percaya, akan lama lagilah bangsa kita mampu terlepas daripada terus mengorbankan dirinya sendiri. Takkan ada kemakmuran di dalam mana-mana bangsa andai “yang terbanyak” itu menderita. Sengsara.
“Semangat Renaissance” perlu segera mengambil tempat. Lelaki dengan kupiah, wanita bertudung, bahkan rumah ibadat yang melacak-lacak takkan menjamin sesebuah masyarakat beragama dan ber-Tuhan dapat hadir. Penghinaan sesama manusia terus berlanjutan. Melihat pihak sana menderita, seakan kepuasan di pihak sini.
Baik di bidang pemikiran, kebudayaan, ekonomi mahupun politik, kita yang hidup hari ini memerlukan Sosok Renaissance, dan sosok itu takkan hadir tanpa peranannya sebagai Sang Pencerah. Mahu tidak mahu, meski sedikit sulit, kenyataan ini harus dikhabarkan kepada semua. Pagi ini juga. Dengan yang demikian, semakin cepatlah kita mengenal yang mana intan; yang mana satu kaca.
Anda boleh menyalin artikel yang disiarkan tanpa halangan, sila letakkan link blog "tukanglawan jika sudi, semoga maklumat dan informasi dapat disampaikan kepada semua . Anda juga digalakkan share artikel ini di Facebook, twitter, forum atau apa juga medium sebaran. jika ada saranan dan pendapat, e-mailkan ke infotukanglawan@gmail.com , silakanlah juga tinggalkan komen anda dibawah
. .
Catat Ulasan
Sila berikan komen anda dengan sopan.