Buku Jingga: Sertailah debat, Pakatan pelawa lagi Najib

| comments

Pemimpin Pakatan Rakyat mengulangi pelawaan kepada Datuk Seri Najib Razak agar pentadbirannya menyertai perbahasan sama ada 10 inisiatif Buku Jingga pihaknya benar-benar akan menjadikan negara muflis, sebaliknya memanfaatkan rakyat dalam jangka panjang.

“Kalau Najib nak tahu sama ada negara akan bankrap, cara yang baik adalah mengizinkan pakar-pakar ekonomi membahaskan cadangan Buku Jingga bersekali dengan Pakatan Rakyat. Najib dan pimpinan BN dipersilakan hadir sama,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad dalam tulisan blognya.

Kepimpinan Pakatan Rakyat pernah memanjangkan pelawaan sedemikian kepada Najib, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, awal tahun ini.

Bagaimanapun ia ditolak kepimpinan beliau.

Pakatan Rakyat memperkenalkan Buku Jingga dengan 10 inisiatif pada konvensyennya 19 Disember lalu.

Dalam tulisannya bertajuk “Mengapakah PM Najib takut sangat Buku Jingga ini?”, Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, pendekatan Buku Jingga adalah berpaksikan rakyat iaitu usaha memakmurkan dan mensejahterakan rakyat, sementara Pakatan Rakyat mahu menjana persaingan sihat dan meningkatkan daya saing dengan menamatkan amalan kronisme dan rasuah dalam sistem penyampaian.

“Kami bukan tidak mesra bisnes, tetapi bukan bisnes yang mengorbankan rakyat dan negara,” katanya.

“Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat hari ini adalah buktinya! Buku terbitan kerajaan negeri Selangor 'The Road to Reform' adalah bukti terbaik bagi memberikan kesedaran kepada rakyat tentang pendekatan reformasi ekonomi politik kami secara ilmiah,” katanya lagi.

Laporan media terbaru mendakwa akhbar milik Umno, Utusan Malaysia memberi arahan khas untuk menghentam rancangan 100 Hari Pakatan Rakyat yang disenaraikan dalam Buku Jingga jika mereka berjaya menawan Putrajaya.

“Mengapakah BN tertekan dengan penampilan dan kehadiran Buku Jingga ini? Mengapakah Perdana Menteri Najib dan pimpinan BN takut sangat Buku Jingga ini?” katanya lagi.

“Secara tepat saya tak tahu. Mereka lebih tahu. Yang jelas bagi kami, Buku Jingga adalah respons dan penyelesaian untuk mengeluarkan negara dari krisis dan kemelut sosio-politik-ekonomi yang berpanjangan.

“Ia menampilkan satu persaingan dasar dan polisi sebagai penyelesaian alternatif,” kata beliau lagi.

Dzulkefly dalam tulisannya menyoal mengapa Najib menyerang Buku Jingga dengan tuduhan bahawa negara akan muflis atau bankrap.

“Muflis atau bankrap adalah kata-kata yang emotif dan sensasi yang cepat difahami rakyat. Jadi itulah cara paling kuno dan konvensional untuk Najib menyerang kami. Rakyat takut negara bankrap,” katanya,

Bagaimanapun katanya, keseluruhan program Buku Jingga jika dilaksanakan tidak sampai pun menelan RM19 bilion.

“Tidak dengan itu negara akan bankrap. Negara pastinya bankrap dengan hutang kerajaan pusat dan GLC yang mencecah 60 peratus KDNK dan terus meminjam lagi.

“Tahun ini kerajaan akan menerbitkan RM82 bilion bon dan sukuk. Sebahagian diguna untuk bayar hutang dan kupon bon yang telah matang,” katanya sambil menambah, “bankrap mungkin, tapi bukan kerana Buku Jingga.”

“Pahang dan Johor mungkin bankrap kerana hutang, tidak Selangor dan Pulau Pinang dan tidak juga Kedah dan Kelantan,” jelas beliau.

Dzulkefly juga menulis, “betul ia adalah dokumen kecil, tetapi ia mengandungi penegasan dasar, pendekatan strategik dan sekali gus Program 100 kerajaan Pakatan Rakyat, andainya kami mengambil alih pemerintahan di peringkat Persekutuan.”

Bekas pengarah unit penyelidikan PAS pusat ini menambah, pihaknya bukan sahaja bercakap tentang pertumbuhan dan pendapatan per kapita tetapi memastikan pertumbuhan mapan dan berakhir dengan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

“... antara lain dengan agihan kekayaan negara yang adil dan rakyat dapat meningkatkan pendapatan boleh berbelanja, yang tidak ditelan oleh inflasi.

“Kami lakukan reformasi politik bersekali dengan peralihan struktural dengan mendekati isu contohnya, subsidi dan kaedah penswastaan yang tidak akan membebankan rakyat dan menguntungkan kroni semata-mata,” kata anggota Dewan Rakyat ini.

Dzulkefly menulis, kepimpinan Pakatan Rakyat juga mendekati perkara itu dengan menentukan keutamaan dalam pelaburan kerajaan berpandukan ‘fiqh Al-Awlawiyyat'.

“Nak bina Menara Warisan (100 tingkat dengan dana RM5 bilion) ke atau nak mendayakan rakyat dengan memberikan perkhidmatan asas dengan harga yang munasabah. Ini kesemua adalah keputusan politik dan komitmen politik.

“Tetapi Najib-BN hanya bercakap tentang projek mega, mutakhir kereta api laju ke Singapura, dulu Bakun yang hingga kini tak ada pembeli tenaganya,” katanya lagi.

Malah kata beliau, Pakatan Rakyat juga merungkaikan masalah perbezaan pembangunan wilayah dengan pendekatan desentralisasi polisi fiskal dengan mendayakan pihak negeri dalam isu royalti dan peruntukan per kapita yang lebih adil untuk kerajaan negeri dalam amalan federalisme yang lebih demokratik.

“Bukan seperti yang ‘rompakan’ yang dilakukan atas royalti minyak negeri Kelantan dengan mencerobohi kesucian perjanjian yang menakutkan pelabur asing dan tempatan,” katanya lagi.
Share this article :

Catat Ulasan

Sila berikan komen anda dengan sopan.

 
Support : Copyright © 2011. "tukanglawan" - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger. Stats by Feedjit