KUCHING: Seorang pensyarah kanan sebuah institusi pengajian tinggi awam di sini ditemui mati di rumahnya di Taman Synergy, di sini dengan pisau tertusuk pada leher dan pergelangan tangan kanannya cedera akibat digerudi.
Mayat Azizah Sapawi, 42, pensyarah kursus perakaunan di Politeknik Kuching ditemui dalam stor rumah oleh anak sulungnya berusia 11 tahun dan ketika itu, mesin gerudi yang berada berhampiran mangsa masih berfungsi.
Suami wanita berkenaan yang pulang dari kerja kira-kira jam 6.15 petang kemudian membuat laporan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad, berkata siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah berikutan tikaman kuat.
“Pemeriksaan mendapati kediaman mangsa tidak dipecah masuk, malah semua barangan berharga tidak diusik. Kes ini diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Suami mangsa memaklumkan Azizah tidak bertugas kerana mendapat cuti
sakit dua hari dan dia dinasihatkan doktor agar membawa isterinya melakukan pemeriksaan mental,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mayat Azizah kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.
Pasangan berkenaan mempunyai tiga anak lelaki berusia lima, lapan dan 11 tahun.
Sementara itu, seorang kenalan rapat mereka yang enggan dikenali, berkata suami mangsa yang bertugas sebagai juruteknik di sebuah institusi pengajian tinggi swasta pernah meminta bantuan rakan mencari ustaz bagi merawat isterinya.
“Rakan saya itu pernah beberapa kali bertanya kepada kami jika ada kenal ustaz yang mahir untuk merawat isterinya yang dipercayai diganggu secara ‘halus’. Kami ada mencadangkan beberapa individu yang mahir perubatan Islam.
“Mengikut perancangan, rakan saya mahu membawa Azizah mendapatkan rawatan tradisional hujung minggu ini selepas dia mendapati isterinya tidak lagi mampu menguruskan diri dan anak-anak di rumah,” katanya.
Catat Ulasan
Sila berikan komen anda dengan sopan.