Sokong Pelaksanaan Qazaf Sebagai Mekanisme Syariah Untuk Halang Fitnah dan Politik Lucah
Hari ini, 30 Januari 2012, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui barisan peguamnya akan mengemukakan hujah di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur. Ini bertujuan agar Mahkamah meneliti semula keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang telah menolak permohonan untuk mahkamah memerintahkan supaya Ketua Pendakwa Syarie mendakwa Saiful Bukhari berhubung dengan kes qazaf.
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) melihat pelaksanaan qazaf ini seharus dipermudahkan oleh Mahkamah, khususnya di dalam kes melibatkan Datuk Seri Anwar ini. Mahkamah Syariah mempunyai kapasiti yang jelas untuk membenarkan Saiful Bukhari dibicarakan melalui prosiding Mahkamah Syariah dan didakwa di atas tuduhan palsu yang beliau kemukakan pada tahun 2008.
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 jelas membuktikan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak berasas, malah berniat jahat.
Pelaksanaan qazaf ini, secara jelas berpotensi menutup ruang fitnah daripada dilakukan secara berleluasa, malah ia juga dapat mengekang budaya menggunakan pertuduhan palsu melibatkan jenayah seksual sebagai satu alat politik untuk memusnahkan kredibiliti mana-mana pihak.
AIC melihat pembunuhan karakter ke atas Datuk Seri Anwar sudah menjadi semakin parah. Sekiranya pelaksanaan qazaf ini diperlekeh dan ditolak oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ianya bukan sekadar satu ketidakadilan kepada Datuk Seri Anwar, malah secara tidak langsung menafikan prospek perundangan syariah yang jelas menjulang pembelaan hak-hak dan maruah mana-mana individu daripada difitnah sewenang-wenangnya.
Adalah sangat mendukacitakan, di saat Malaysia disebut-sebut sebagai Negara Islam Contoh oleh pemimpin negara, budaya fitnah dan penggunaan politik lucah semakin berleluasa di Malaysia sehingga ke satu tahap yang membimbangkan. Lebih memburukkan keadaan apabila ianya dijadikan satu senjata politik dan seolah tidak terhalang dan kebal daripada undang-undang.
Justeru harapan besar rakyat Malaysia amnya dan umat Islam yang prihatin khususnya, agar pelaksanaan qazaf ini dapat direalisasikan. Ayuh bersama tolak budaya fitnah dan politik lucah demi kemaslahatan rakyat dan negara, demi menjulang politik baru yang lebih matang dan segar.
Saifuddin Shafi Muhamad
Setiausaha
Kelab Anwar Ibrahim (AIC)
Catat Ulasan
Sila berikan komen anda dengan sopan.