Bersih2.0 - Dato' Dr. Chua Jui Meng Kongsi cerita

| comments














Kalau tidak kerana sekatan yang dilakukan polis semasa berlangsungnya himpunan BERSIH 2.0 pada 9 julai lalu, pasti ratusan ribu rakyat akan turun menyertai himpunan tersebut, Wartawan Harakah, INTAN ABDULLAH mewawancara bekas Menteri Kesihatan, Dato' Dr. Chua Jui Meng menceritakan pengalamannya menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Ikuti butirannya.



Bagaimana Dato' bersama beberapa pemimpin Pakatan Rakyat memimpin Himpunan Bersih 9 Julai itu?

DATO' DR. JUI MENG: Kita bermula dari Masjid India. Kita dihalang oleh pihak polis dan FRU untuk teruskan jelajah dan pada masa itu terdapat lebih 1,000 ke 2,000 orang peserta himpunan di sana. Kita berada di dalam satu lorong yang sempit dan di hadapan kami terdapat polis dan FRU. Selepas itu, mereka minta kami bersurai tetapi ada orang berganjak dari sana dan FRU terus menggunakan gas pemedih mata dan ramai yang terjejas akibat gas itu. Selepas itu kami berundur ke Masjid Jamek, selepas itu mereka kata mereka tiada pemimpin dan mereka minta saya jadi pemimpin di kumpulan ini. Kemudian saya buat keputusan yang kami akan menghala ke Stadium Merdeka.


Dato melalui lokasi mana?

Kami melalui kawasan-kawasan seperti Dataran Maybank, Penjara Pudu, Puduraya, kemudian kami masuk sampai hampir Stadium Merdeka iaitu di Jalan Sultan. Apabila kita sudah mara ke Jalan Sultan, orang-orang lain yang menyokong Bersih menyertai kumpulan kami menjadikan bilangannya puluhan ribu untuk meneruskan kemaraan ke stadium.


Adakah Dato' berada di barisan depan?

Ya! Apabila saya sampai tiada orang lain. Selepas itu setelah berbincang dengan pihak polis saya berdepan dengan mereka dan memberitahu kita patuh kepada Yang DiPertuan Agong dan kami mahu menghala ke stadium. Itu dijanjikan pada peringkat awal oleh Najib (Perdana Menteri) dan kami patuh kepada Agong dan kami mahu mara ke sana. Kenapa polis hendak halang kita? Pegawai polis memberitahu, kami tidak di benarkan masuk ke Stadium Merdeka kerana itu adalah perintahkan oleh KPN. Tetapi dia kata polis membenarkan rombongan Bersih yang begitu ramai, pemimpin boleh buat ucapan.


Di mana lokasi perundingan ketika itu?

Di Jalan Sultan berhampiran stadium. Inilah satu-satunya tempat ketika itu begitu ramai orang sampai ke hujung Jalan Sultan penuh padat dengan orang, di sebelah kiri (kalau tidak salah) Jalan Davidson juga dipenuhi orang dan juga Jalan Petaling.
Saya khuatir kalau kita tidak berunding dan tidak mendapat satu persefahaman dengan polis, bila mereka tembak orang-orang yang padat di jalan sultan bertempiaran lari dan banyak yang akan tercedera sehingga boleh menyebabkan kematian.



Atas alasan itu, Dato' cuba berunding?

Saya berunding dengan polis. Tetapi itu polis yang profesional berbanding dengan tempat-tempat lain yang bertindak secara ganas. Mereka mengikut protokol yang sebenar dengan tidak menembak gas atau air ke arah perhimpunan. Semua dijalankan secara teratur dan aman. Pada ketika itu ada pemerhati daripada Majlis Peguam yang telah membuat laporan mengenai good cops dan bad cops.
Sepatutnya cara terbaik adalah perundingan antara rakyat dan polis.


Apa terjadi selepas itu?

Selepas setengah jam dan Dr. Hatta selesai menyampaikan ucapan, kami bersurai dan saya meminta semua peserta agar berjalan secara teratur menghala ke Pasar Seni. Ada FRU. Kami tahu dia akan melepaskan tembakan, dan itu yang berlaku. Kemudian Dr. Hatta meminta semua menghala ke KLCC,
tetapi polis menganggap kami akan menuju ke Pasar Seni tetapi kami ubah strategi dengan cepat, ada yang berlari, ada yang berjalan cepat, kita hala ke KLCC. Masa itu, berpuluh-puluh ribu berjalan panjang begitu padat semuanya dengan penyokong Bersih 2.0.


Adakah terdapat golongan bukan Melayu?

Orang Melayu paling ramai, orang Cina banyak khasnya anak-anak muda Cina yang saya tengok rupa mereka di kalangan berpendidikan tinggi, kebanyakannya profesional. Saya menganggarkan 25 peratus, India ada ramai juga dan yang lainnya semua Melayu.


Kemudiannya...

Di KLCC, kita berdiri di atas sebuah kotak bersama Dr. Hatta dan beberapa pemimpin yang lain dan kami menyampaikan ucapan ringkas kepada peserta himpunan. Oleh kerana kami tahu terdapat helikopter yang membuat rondaan di udara yang melaporkan perhimpunan di lokasi itu, jadi kami tahu FRU akan datang bersama polis untuk menembak kami lagi. Walaupun ucapan itu ringkas, tetapi bersemangat luar biasa. Saya tengok di hadapan saya ramai orang Cina duduk di atas jalan raya berhadapan menara berkembar Petronas yakni di persimpangan jalan. Mereka semua hebatlah!


Bagaimana Dato' melihat cara polis meleraikan peserta himpunan?

Saya nampak kerjasama antara kaum luar biasa betul, menakjubkan. Saya tengok apabila terkena gas pemedih mata. Saya sendiri terkena baru saya tahu. Pada ketika saya menjadi Menteri Kesihatan saya tidak diberitahu garam boleh redakan impak gas pemedih mata. Hari itu saya belajarlah daripada para penyokong Bersih 2.0 yang membawanya di dalam kocek mereka yang menawarkannya kepada saya, orang Cina, kemudian mereka bagi kepada Melayu, Melayu kepada India - mereka menjaga antara satu sama lain.


Apa perasaan Dato' melihat gandingan kaum ini?

Saya berasa sangat bangga dengan perhimpunan ini. Rakyat Malaysia tidak takut lagi. Kita sudah tidak takut kepada Umno lagi. Semua bangsa tidak takut. Bagi saya orang Tionghua yang saya nampak dengan mata saya sendiri, orang Cina sedar tentang ketakutan kepada Umno dulu.


Berapa orang Dato' anggarkan kehadirin himpunan ini?

Mengikut Laporan CCTV China, jumlah keseluruhan peserta himpunan adalah 200,000 orang merangkumi daripada Lembah Klang dan Kuala Lumpur dan Al-Jazeera melaporkan 100,000 orang. Oleh kerana Ambiga di Brickfield dia tidak boleh masuk ke KL semua dihalang dan dia tidak nampak apa yang berlaku di KL. Saya tahu kerana pada awal pagi pemandu saya tidak dapat masuk. Tetapi saya bermalam di Kuala Lumpur kerana saya tahu inilah tempat yang akan menjadi sasaran. Polis datang mengetuk pintu-pintu hotel di KL. Sampai ke tahap itu tanpa mengira hak rakyat untuk menginap di hotel. Banyak kumpulan yang berada di KL dan banyak juga yang gagal masuk. Saya percaya kalau polis tidak bertindak anti-rakyat hari itu, beratus ribu akan hadir.
Share this article :

Catat Ulasan

Sila berikan komen anda dengan sopan.

 
Support : Copyright © 2011. "tukanglawan" - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger. Stats by Feedjit